Archives for posts with tag: zine

Aturcara beransur bermula sebaik kami tiba di Gudang Noisy, lokasi bagi KL Zine Fest 2010 kali yang ini. Pertunjukan berseorangan oleh Chalat Chalat menghantar irama elektronik-sintesizer ke udara, perlahan-lahan mengumpul pendengar antara tidak, barangkali masih sedikit asing atau apa. Kelihatan tidak begitu ramai orang yang turut serta menawar zine atau bahan bacaan lain, disangka mungkin kerana masih awal. Tetapi setelah datang hujan yang tumpah mencurah tidak berputusan di luar sudah semakin jelas menandakan bahawa setakat itu sahaja jumlahnya. Cuma sekitar 5 ke 6 meja sahaja dibuka, ditambah satu yang sedikit lewat sampai, menjual hasil cetak sendiri baju dan patch di atas lantai.

Namun mendekat petang, orang beransur ramai yang datang seiring beransur meredanya hujan. Suasana menjadi lebih meriah. Sebelum itu, acara berterusan dengan persembahan dari kugiran Keladak disertai pula oleh The Pips diselang serentak berlakunya “membuat zine On the Spot”, mengajak bersama sesiapa sahaja menulis dan berkongsi apa pun di situ. Ini juga direncana kelak akan diterbit secepat mungkin.

Sejurus setelah 3 persembahan pada senarai acara berakhir, hadirin bersama menonton dokumentari tentang pengalaman dan pendapat penulis-penulis zine dan analisis budaya zine secara keseluruhan di Amerika yang berjudul $100 & A T-Shirt.

Penutup acara diakhiri dengan sesi membaca penulisan zine atas jemputan dan juga secara terbuka kepada sesiapa sahaja. Dimulai oleh Azizi dan disusul oleh Mat Noor, Yuen, Nizang dan Alind membaca kutipan tulisan pilihan masing-masing. Secara keseluruhan walau tidak disertai oleh ramai penulis-penulis lain untuk kali ini diharap bisa mencetus banyak penulisan dan penghasilan zine pada masa mendatang. Itu satu kemungkinan.

Sedikit maklumat lanjut:
1. Zine Fest ini dianjurkan bersempena sambutan acara zine sedunia pada bulan Julai setiap tahun.
2. Beberapa zine baru telah terbit sempena KL Zine Fest termasuk zine dari kolektif kudeta, Akar Ruang, Bebal, Scenery Is Free, Mosh serta Shock & Awe isu pertama.
3. Wiki tentang zine.
4. Gambar selebihnya KL Zine Fest 2010 di sini.
5. Blog untuk muat turun zine di sini.

Advertisements

barangkali antara acara yang julung-julung kali pernah diadakan, zine fest kuala lumpur, 2010 akan berlangsung di gudang noisy , lewat ini tempat berlakunya pelbagai acara dan juga sebagai pusat komuniti di ibu kota. tarikh acara direncanakan pada 25 julai, pukul 2pm. keterangan lanjut boleh diajukan atau disemak di sini.

antara aturcara untuk hari itu adalah:
sesi pembacaan zine oleh-
Mat Noor
Azizi Bebal
Pidot Nothing Else
Nizang Mosh
dll

pertunjukan oleh-
The Pips
The Chalat Chalat
Keladak

serta sesi pembuatan zine terus (kertas dan pen akan diberikan kepada para hadirin/peserta. penulisan akan diterbitkan terus).
————————————
*kolektif kudeta akan membuka meja bagi trade, jualan, perkongsian zine, cerita dll pada hari tersebut. juga ini adalah sebagai kempen permulaan mengutip dana bagi biaya projek pembukaan infoshop kolektif. segala sumbangan dan sokongan adalah amat dialu-alukan.

Petikan daripada zine, Prasasti.

Ada dunia lain selain daripada yang ini. Yang terpencil disisih tadbir kanun fizik. Terkunci antara arus garis waktu, dalam rangkum bumi diedar paksinya. Masih dipendam kabut antara tahyul dan mustahil.

Adalah peri dikatakan bahawa dunia ini dunia mistik. Gugusan dimensi sakti unjuran keramat usul sihir hati. Hunian para perintis lelaki dan perempuan peneroka kebarangkalian.

Halimunan serta segala hal yang ghaib-ghaib. Tiadalah berketahuan banyak akan ianya tiada sahih di mata sama maklum di akal. Lantaran peras perlembagaan paksa tata realiti dan piawai masa memegat galang hakikat biar tiadalah cara lain lagi memikir akan dunia sekaliannya selain daripada yang ini sahaja.

Meski tiadalah jauh akan halnya dunia yang lain itu yang berjarak letaknya bahkan antara selangkah kaki dan segapai tangan adanya. Sementelah hadir bersekali seraya selisih sahaja, tatkala leka tiada terduga barangkali pernah ketemu tanpa sedar barangkali telah datang tanpa dipanggil. Adakalanya didatangkan pula serupa petunjuk rahsia yang hanya dapat ditafsir menurut urutan firasat batin–sebagaimana nalurimu terpanggil merujuk kepadanya.

Sewaktu-waktu pertama kalinya jatuh cinta, sedangkan hati yang bertaut kasih pun diterimakan seperti suatu kejadian aneh terus mahu disangkal kebenarannya. Namun sebenarlah mengisi pancaindera membangkit perasaan semacam asyik mengelamun sehingga dunia sekitar langsung berubah indah bersemi, jadi terlalu elok kepada pemandangan maka ianya pun tersemat dibingkaikan mata hatimu. Sememangnya mereka yang berkasih-kasihan itu menjumpakan pengertian yang jauh berbeda akan alam, penuh makna dan tiada akan ternilai lagi terbanding. Dan cinta menyampai takrif kehidupan yang sebenar-benarnya itu. Kerana diturutkan hati yang berkehendakan sesuatu yang tersangat agung, tidak akan mampu dikandung oleh dunia yang tiada lagi memperakui keajaiban. Begitulah betapa tegarnya jiwa yang tiada bertuankan selain hati walau dikerah kuasa sejagat pun belumlah pasti dapat menunduknya.

Barang sesuatu seperti itu sambil sama memberi petanda bahwa apa sahaja boleh berlaku asal sahaja dapat disebati unsur-unsur yang mempercetuskannya. Sekiranya dapat diikat sebatian itu maka akan terbitlah ia bakal menjelang bersama membawa seluruh hari di ambang gemala peralihan. Merebak dan berjangkitan pula ianya itu, laksana bumi dipisah gerhana laksana dinihari disingkap fajar. Langsung mengheret segala aturan jagat tergelincir daripada landasannya. Lalu melukutlah dunia lama pecah berderai tiada akan dapat dicantum lagi. Maka di situlah dunia itu diketemukan.

Andai ingin ditelusuri susur galur asal sebermulanya ia adapun ianya diperiwayatkan di dalam perkumpulan sahabat yang saling bertukar cerita tentang dongeng keperwiraan atau rahsia alam di antara semarak unggun api yang memercik ke bintang. Prasastinya ada terpahat di atas bibir yang melarik senyum merungkai seribu catatan bahagia.

Ia hadir diutus angin dipesan bayu pada jelajah lepas membelah samudera malam. Ia terbit dari bicara tentang keinginan dan impian mahukan diburu adicita itu sehingga ke hujung dunia. Ialah dilagukan di dalam irama gemersik kesukaan jadi gubahan sempurna kepada mana-mana yang berkenan, bagaimana alunan titinadanya itu mampu mengangkat-apung jiwamu dalam cara yang tidak akan dapat dirumuskan hukum ilmu zahir. Apakala pula dimeterai asmara dan menyatu sejasad sejiwa dipanjat bersama saat itu ke mercu berahi setanding pendaki unggul menjejak ke gunung berkalung awan, itulah puncaknya yang telah kalian tawan.

Adapun tersebut perkataan dunia itu juga bisa terbangun kepada yang mencita mahu diperbuat akan ia seturut seru bagai dicucuri dengan segala hikmat kesaktian. Justeru, antara sesiapa pun bisa mengilham kehidupan seindah puisi bagai citra pengkarya agung atau mendiri sergam persada sekitar seri bersendi sulur tempawan bagai rupanya menjawat pekerjaan tukang yang pandai dari keinderaan. Sebegitu besar segala dunia yang mungkin pada yang menginginkannya dan jikalau kuat kemahuan itu nescaya akan terjelmalah gapuranya membuka gerbang raya membentang lalu seakan seluruh alam datang berserah kepadamu.

Akan yang itu, sungguhlah seperti ada dunia lain di sebalik yang ini. Melarut ufuknya tidak bertepi, lautannya tidak berdasar, letaknya di dunia yang ini juga. Berpasak alih ke mana sahaja asalkan hatimu seluas semesta.

Arkitek syurgaloka metabumi.

Sebenarlah bahawa revolusi itu satu ide di mana kita boleh memasuki dunia rahsia itu, mengharapkan akan saat yang mendatang itu, tidakkan sekali-kalinya kembali lagi.