Aturcara beransur bermula sebaik kami tiba di Gudang Noisy, lokasi bagi KL Zine Fest 2010 kali yang ini. Pertunjukan berseorangan oleh Chalat Chalat menghantar irama elektronik-sintesizer ke udara, perlahan-lahan mengumpul pendengar antara tidak, barangkali masih sedikit asing atau apa. Kelihatan tidak begitu ramai orang yang turut serta menawar zine atau bahan bacaan lain, disangka mungkin kerana masih awal. Tetapi setelah datang hujan yang tumpah mencurah tidak berputusan di luar sudah semakin jelas menandakan bahawa setakat itu sahaja jumlahnya. Cuma sekitar 5 ke 6 meja sahaja dibuka, ditambah satu yang sedikit lewat sampai, menjual hasil cetak sendiri baju dan patch di atas lantai.

Namun mendekat petang, orang beransur ramai yang datang seiring beransur meredanya hujan. Suasana menjadi lebih meriah. Sebelum itu, acara berterusan dengan persembahan dari kugiran Keladak disertai pula oleh The Pips diselang serentak berlakunya “membuat zine On the Spot”, mengajak bersama sesiapa sahaja menulis dan berkongsi apa pun di situ. Ini juga direncana kelak akan diterbit secepat mungkin.

Sejurus setelah 3 persembahan pada senarai acara berakhir, hadirin bersama menonton dokumentari tentang pengalaman dan pendapat penulis-penulis zine dan analisis budaya zine secara keseluruhan di Amerika yang berjudul $100 & A T-Shirt.

Penutup acara diakhiri dengan sesi membaca penulisan zine atas jemputan dan juga secara terbuka kepada sesiapa sahaja. Dimulai oleh Azizi dan disusul oleh Mat Noor, Yuen, Nizang dan Alind membaca kutipan tulisan pilihan masing-masing. Secara keseluruhan walau tidak disertai oleh ramai penulis-penulis lain untuk kali ini diharap bisa mencetus banyak penulisan dan penghasilan zine pada masa mendatang. Itu satu kemungkinan.

Sedikit maklumat lanjut:
1. Zine Fest ini dianjurkan bersempena sambutan acara zine sedunia pada bulan Julai setiap tahun.
2. Beberapa zine baru telah terbit sempena KL Zine Fest termasuk zine dari kolektif kudeta, Akar Ruang, Bebal, Scenery Is Free, Mosh serta Shock & Awe isu pertama.
3. Wiki tentang zine.
4. Gambar selebihnya KL Zine Fest 2010 di sini.
5. Blog untuk muat turun zine di sini.