Archives for category: berita dan cerita

Ahad, 15 Ogos, 2010
Seramai 5,000 orang pekerja asing bertindak melakukan bantahan dengan membaling kerusi, batu dan sampah ke arah 200 orang polis, serta menyerang pondok pengawal di Johor Bahru, pada Ahad Lepas. Rusuhan yang berlangsung dan bertahan selama tujuh jam tersebut berlaku di sekitar bangunan kediaman para pekerja. Ia turut disertai oleh pekerja dari negara Myanmar, Bangladesh, India dan Nepal yang dikatakan pekerja dari sebuah kilang elektronik di Kawasan Perindustrian Tebrau Johor Bahru.

Rusuhan tercetus berikutan kematian seorang rakan mereka, seorang pekerja dari Nepal, berusia sekitar 20 tahun. Keterlewatan untuk menghantar pekerja ke hospital dan diberi rawatan oleh majikan, menjadi punca kematian. Beliau menghembus nafas terakhir pada pukul 7 pagi, di Hospital Sultan Ismail dan ini membuat rakan sekerja lain berang lalu berkumpul di kawasan tempat tinggal mereka dan mengherdik ke arah majikan.

Pekerja yang meninggal tersebut dianggap berahsia dan tidak memaklum majikan tentang tahap kesihatan beliau yang mengalami demam panas teruk sehingga membawa kepada maut. Akses rawatan dan kesihatan adalah seringkali menjadi suatu kesulitan bagi para pekerja asing di negara ini kerana tidak ada dokumen sah untuk bergerak atau paspot mereka oleh majikan. Walaupun dengan memiliki dokumen, mereka dituntut membayar wang pendaftaran rawatan sebanyak RM50 berbanding warga Malaysia iaitu RM1, satu jumlah yang sangat mahal.

Dipetik dari portal lain, sebagai berkata pekerja dari Bangladesh menuntut majikan menyediakan sebuah klinik serta sanggup memberi pampasan sebanyak rm25,000 kepada keluarga mana-mana pekerja yang ditimpa kecelekaan di situ. Berikutan kejadian rusuhan, pihak pengurusan syarikat bersetuju menemui wakil pekerja bagi menyelesaikan masalah di kilang.

Rusuhan akhirnya telah disuraikan oleh polis dan FRU pada pukul 2 petang.

Solidariti untuk para pekerja asing di Johor Baharu!!
Solidariti untuk Thu Maung dan semua pekerja asing seluruh Malaysia!!

sumber:
libcom
workers hub

————–

berita susulan kejayaan para pekerja beberapa hari berikutnya di sini

Saksi kejadian dan catatan oleh “Resino W Asis & Serikanda”
Ahad, 1 Ogos 2010.
Hari menjelang gelap. Sekitar 300 orang mula berkumpul bagi mengingati hari ini. Hari ini genap sudah 50 tahun “Akta Keselamatan dalam Negeri 1960” bekuasa. Himpunan pada malam bagi memperingati serta sebagai tanda solidariti kepada mangsa-mangsa kekejaman I.S.A. dan mendesak agar ia dimansuhkan dan bukan dipinda. Setiap individu wajib dibicarakan sebelum didapati bersalah dan meminda akta ini hanya sebahagian dalih mengekalkannya. Acara diadakan serentak di 8 negeri di Malaysia dianjurkan oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).

Di Kuala Lumpur, acara diadakan di padang MPPJ, berdekatan dengan AMCorp Mall. Seawal ketibaan, sudah kelihatan kawasan perhimpunan telah dipenuhi dengan apparatus kerajaan, berkawal dan bersedia untuk menggagalkan perhimpunan aman ini. Peserta perhimpunan mula bergerak menuju ke arah padang untuk memasang lilin menjelang pukul 7.15 malam. Tetapi mereka telah dihalang oleh polis dengan alasan perhimpunan ini tidak ada permit dari mereka. Beberapa cubaan untuk berbincang dengan polis tetapi gagal. Pihak penganjur telah pun mendapat kebenaran untuk menggunakan padang tersebut untuk berhimpun tetapi ianya tidak diendahkan oleh pihak polis dan mengarahkan semua yang ada di situ agar segera bersurai.

Keadaan mula menjadi kecoh apabila FRU mula bertindak kasar menyuraikan perhimpunan. Cota dan perisai penghadang telah dijadikan alat kekuasaan menghambat dan menakutkan orang ramai dan ini telah menimbulkan ketegangan semasa demonstran beransur-ansur diasak ke kawasan tempat letak kereta di Amcorp Mall hingga ke dalam pusat beli-belah tersebut. Beberapa orang demonstran telah seawal lagi ditahan di dalam kekalutan tersebut. Pintu besi pusat beli-belah itu ditutup dan pihak polis seolah-olah berjaya mengawal keadaan dengan para demonstran tampak seperti terkepung di dalam ruang legar bangunan tersebut. Ketumbukan FRU telah diletak berkawal di hadapan pintu bangunan seperti mahu menghadang jalan keluar. Cubaan ini langsung tidak mematahkan semangat para demonstran. Ada sesetengah demonstran menyalakan lilin dari dalam bangunan sebagai tanda semangat perlawanan yang masih belum padam dan menyerah kalah. Pihak polis bertindak menceroboh ke dalam banggunan dan telah menangkap beberapa orang lagi demonstran. Dianggarkan sepanjang kejadian ini, seramai 20 orang atau lebih telah ditahan dan mereka telah dibawa ke IPD Petaling Jaya. Dalam penahanan itu, beberapa orang komrad termasuk 2 dari FNBKL telah ditahan.

Para demonstran yang masih tinggal serta yang baru tiba kemudian bergerak menuju ke IPD Petaling Jaya untuk memberikan solidariti kepada para tahanan dan meneruskan perhimpunan memperingati ISA di sana. Ini tidak kesampaian kerana saat baru sahaja mahu bergabung di depan IPD tersebut, dua trak yang membawa FRU dan satu trak water cannon tiba langsung cuba memecahkan gabungan tersebut. Jalan dua hala di hadapan IPD ditutup dan polis langsung mengejar orang ramai yang masih di situ. Para demonstran lari bertempiaran akibat tindakan polis itu hingga ada yang mencari perlindungan di gerai-gerai makan berdekatan. Seramai 3, 4 orang demonstran telah ditahan pada kejadian di hadapan balai polis ini.

Polis telah menghalang sebarang bentuk perhimpunan dihadapan balai polis dan bertindak menghalau sesiapa pun yang berada di situ walaupun mereka yang menunggu bas untuk pulang kerumah di hentian bas di hadapan balai polis. Ini menyebabkan para demonstran berundur sambil menunggu tindakan selanjutnya. Kebanyakan mereka berkumpul di gerai-gerai makan berdekatan dan meninjau keadaan dari situ. Semuanya dianggarkan seramai 29 orang telah ditahan di Petaling Jaya pada malam tersebut. Difahamkan juga ketika ini, beberapa cubaan menggagalkan perhimpunan dan penangkapan turut berlaku di negeri-negeri lain iaitu 4 orang ditahan di Penang dan seramai 5 yang lain di Kelantan.

Berita mengenai kejadian di Amcorp Mall dan di hadapan balai polis itu tersebar luas dan mengundang kepada solidariti dari rakan-rakan lain untuk datang memberi sokongan. Selepas beberapa ketika, trak-trak FRU dan water canon beredar dari hadapan balai. Kemudian, beberapa wakil-wakil NGO, peguam, rakan-rakan, dan wartawan telah beransur-ansur berkumpul di hadapan balai polis untuk memberikan solidariti kepada tahanan demonstrasi. Walaupun hari menuju ke pagi, para demonstran masih bersemangat bertahan untuk menunjukkan solidariti kepada tahanan atas tangkapan yang langsung tak masuk akal. Para tahanan kemudian dibebaskan menjelang pukul 5 pagi hari Isnin. Kejadian sepanjang malam 1 Ogos 2010 ini langsung tidak meluntur semangat perlawanan kepada sebarang bentuk penindasan dan kekejaman penguasa. Selagi akta kejam ini tidak dimansuhkan, selagi itu semangat perlawanan menentang penindasan tidak akan pudar dan padam lagi bernyala dan bersemarak!

Pada tarikh yang sama tahun lepas menyaksikan demonstrasi besar-besaran Anti-ISA seramai 20,000 orang dan sekitar 600 telah ditahan.

http://envdevmalaysia.wordpress.com/2010/07/09/sabah-wetlands-face-pollution-effects-from-oil-palm-estates/.